Semasa di UK dahulu, satu perkara yang sangat membahagiakan adalah peluang untuk mendengar dan melihat serta menyertai banyak kumpulan-kumpulan seni suara Islami di sana. Sebelum saya berpindah belajar ke UK itu, pengalaman saya di pondok-pondok dan juga kumpulan-kumpulan talaqi di Malaysia tidak banyak mendedahkan saya kepada tradisi seni suara ini. Di pondok-pondok yang saya pergi itu saya tidak menjumpai kumpulan-kumpulan seni suara ini melainkan sangat sedikit dan tidak popular. Hal itu mungkin kerana kebanyakan pelajar menumpukan banyak masa mereka untuk aktiviti mengaji, mahu pulun sebanyak mungkin kitab, dan tidak melihat keperluan apa-apa kepada tradisi seni suara ini. Apatah lagi, dalam masyarakat kita sendiri di Malaysia ini, bernyanyi itu bukanlah sesuatu yang dianggap bagus atau penting, sepenting kebolehan menghafal matan teks Arab dan kebolehan mengeluarkan hukum-hakam daripada kitab. Mungkin juga fenomena itu cuma kes yang spesifik di kalangan pondok-pondok yang saya kunjungi itu sahaja.

Saya sendiri sewaktu mula mengaji dahulu tidak langsung pandang endah kepada aktiviti-aktiviti qasidah dan pembacaan mawlid ini. Ini disebabkan semasa waktu-waktu awal itu, saya melihat bagaimana beberapa orang yang berkecimpung di seni suara ini telah terpesong tujuan mereka. Daripada asal mengaji Qur’an, kemudian bernasyid kemudiannya pergi ke menyanyi lagu-lagu rock dan sebagainya yang popular ketika itu. Seketika itu saya membenci ‘seni suara’ dalam apa juga bentuk, merasakan bahawa terdapat banyak mudharat daripada manfaatnya, dan seterusnya saya mengkesampingkan apa-apa juga bentuk aktiviti yang melibatkan seni suara ini.

Pendirian saya yang agak tegas itu kadangkala menyulitkan keadaan. Dan pendirian itu mula ditawarkan setelah saya ke UK dan melihat keanekaragaman dan semaraknya tradisi seni suara itu di sana.

Boleh dikatakan setiap bulan saya ada menyertai kumpulan-kumpulan mawlid di merata pelosok UK itu. Jika di Malaysia, percampuran hanya berlaku dikalangan kelompok-kelompok tertentu, di UK saya dapat melihat dalam satu majlis itu hadirin bukan setakat terdiri daripada pelbagai tariqat dan anak-anak murid masyaikh yang berlainan, malahan juga daripada etnik-etnik yang berbeza. Dan setiap etnik itu, bila tiba masanya, akan pula mempersembahkan lagu yang sama tetapi dalam rentak, irama dan citra etnik itu yang tersendiri. Di waktu itu, sentuhan-sentuhan yang pelbagai itu membuatkan saya terfikirkan banyak perkara tentang budaya, tentang tradisi seni suara itu sendiri.

Tahun-tahun waktu saya di UK itu juga sebenarnya adalah tahun-tahun peralihan. Tahun-tahun yang penting dalam sejarah Ahlus Sunnah wal Jamaah di sana. Ia merupakan tahun-tahun mencabar kerana terjadi peristiwa 9/11 dan peristiwa pengeboman di kota London. Ia tahun-tahun yang membuatkan orang berfikir tentang makna toleransi, integrasi, kebebasan, tentang makan Islam dan salam. Ia menunjukkan masyarakat tentang bagaimana sesuatu yang tidak bersifat ‘organic’, sesuatu yang dibawa secara ‘radical’ atau juga ‘parachuted’ dari satu kelompk budaya ke kelompok budaya yang lain yang berlainan nilai, sesuatu yang ‘persuasive’ malahan ‘forced’ itu, semua itu akan menatijahkan kesan-kesan yang tidak baik untuk Islam dan penganutnya.

Golongan ASWJ yang sedang rancak mengatur aktiviti-aktiviti menjernihkan masyarakat yang sedang ‘sakit’ akibat kebobrokan fahaman Wahabi yang radikal tiba-tiba mendapati aktiviti-aktiviti mereka mula mendapat tempat dan sambutan yang begitu hangat. Masyarakat Islam yang tiba-tiba menyedari keperluan kepada pimpinan agama, menyelusuri semula ‘roots’ mereka untuk mendapat secebis ‘wisdom’ dari golongan terdahulu, merapati golongan pemuka agama yang dahulunya dilihat sebagai kolot dan anti-kemodenan. Sekarang, para masyaikh inilah yang dilihat sebagai wajah yang sesuai untuk kehidupan moden dan bertoleransi di UK. Para masyaikh, Imam dan Pirs ini menjadi ‘their new cool’.

Serentak dengan itu juga majlis-majlis mawlid menjadi aktiviti penting di setiap masjid utama di UK. Ia berperanan sebagai medium penyatuan masyarakat, sebagai medium peringatan, rehat dan rawat. Masyarakat yang telah lelah emosi dan ketagihan hiburan melihat mawlid, nasyid dan qasaid sebagai medium alternatif yang halal yang mengubati jiwa di samping memberikan anak-anak muda ‘outlet’ meluahkan perasaan cinta di saluran yang betul. Anak-anak muda juga mendapati mereka diberi peluang mengepalai aktiviti-aktiviti ini, mencurahkan idea dan mencipta kreativiti.

Dengan sebab itu saya dapat melihat kepelbagaian seni suara dan tradisinya di sana. Terdapat rentak-rentak klasik dan original dari tradisi-tradisi sedia ada. Yang Nusantara dengan gaya Nusantara, yang padang pasir dengan gaya padang pasir. Pakistani, Turki, Afrika Timur malah Afrika Selatan juga ada gaya masing-masing yang hidup dan begitu menyegarkan.

Kebangkitan baru ini kemudiannya menyaksikan banyak lagu-lagu versi baru berbentuk ‘fusion’ iaitu percantuman beberapa tradisi lama ini sesama mereka atau dengan tradisi muzik yang lebih baru seperti rap. Malahan saya juga menyaksikan bagaimana terjadinya proses Islamisasi sepenuhnya terhadap sesetengan tradisi muzik moden itu terutamanya muzik rap.

Di waktu yang sama, cabaran-cabaran semasa menyebabkan timbulnya keinginan untuk mewujudkan satu aliran seni suara Islam yang lebih lokal. Di UK dan US terutamanya bercambah lagu-lagu Islami yang bukan sahaja islami pada lirik tetapi begitu British atau American pula pada citranya. Sebenarnya usaha untuk mewujudkan satu citra British Muslim ini bukanlah perkara baru. Sejak awal zaman Islam di Britain seperti di waktu Syeikh Abdullah Quilliam telah dicubakan mewujudkan tradisi seni suara British Muslim ini, dengan mencedok irama beberapa buah lagu etnis (folk) British dan diberikan senikata yang sesuai dengan Islam. (Di Tanah Besar Eropah pula, seperti di Perancis, fenomena yang sama terjadi semenjak ziarah Syeikh al-Alawi ke Paris, dan berterusan mewujudkan genre muzik dengan ritma Afrika Utara dan Perancis, manakala di Sepanyol usaha-usaha menghidupkan semula tradisi lampau zaman Andalusia belum lagi begitu berjaya.)

Setelah meninggalkan bumi UK itu, sesekali saya merasa kerinduan untuk mendengar semula lagu-lagu tertentu yang sangat istimewa dan mengimbau sejarah itu. Malangnya ada beberapa website yang menyediakan hiburan tersebut kini sudah tiada lagi. Contohnya website Guidance Media yang sudah lama tidak berfungsi. Website Zaytuna.org pula kini memerlukan pendaftaran dan sebagainya untuk melayari seluruh website itu. Manakala website yang mengandungi lirik-lirik lagu Mawlid Bristish Muslim dari zaman Syeikh Abdullah Quilliam dan kemudian dinyanyikan semula oleh Syeikh Abdul Hakim Murad dan murid-muridnya juga sudah tidak dapat dicapai lagi di laman web.

Hari ini saya sekadar berpuashati mendengar klip-klip contoh daripada Talib al-Habib. Penyanyinya adalah kelahiran Afrika Selatan. Beliau saya pernah temui di Birmingham dahulu dan seorang yang sangat lemah lembut dan merdu suaranya, juga merupakan seorang doktor psikiatri sepenuh masa yang sekaligus alim bidang agama: http://www.nuralhabib.com/Default.aspx